Sunday, July 17, 2011

Seorang Pelajar Merangkap Da’i

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


Sebagai seorang pelajar, antara perkara yang menjadi masalah ialah pengurusan masa. Khasnya bagi yang bergelar Da’i. Saya maksudkan dengan pengurusan masa ialah cara memanfaatkan masa semaksimum mungkin tanpa dibelenggu perkara yang tidak berfaedah. Saya suka meminjam perkataan ‘Jahiliyyah’ untuk digunakan pada waktu yang terabai tanpa pengisian berguna.

Adakah mungkin bagi seorang pelajar dan juga Da’i mampu bertahan pada jalan dakwah dengan hanya melihat waktu ataupun sesebuah peluang berlalu pergi?

Jika jawapannya YA, maka terbukti jawapan tersebut adalah salah. Ketahuilah bahawa Jahiliyyah akan membantutkan proses dakwah seterusnya merosakkan amal dakwah anda.

Saya percaya, banyak orang tertanya-tanya di luar sana terutamanya para Da’i tentang cara terbaik untuk menangani masalah ini.

Satu-satunya cara terbaik meninggalkan Jahiliyyah ialah menyibukkan diri dengan kegiatan dakwah dan  tarbiyyah. Semangat yang berkobar-kobar dan keinginan yang kuat sahaja tidak memadai untuk meninggalkan Jahiliyyah. Lebih banyak kita bergerak dan berfikir untuk dakwah dan tarbiyyah, semakin banyak Jahiliyyah yang akan ditinggalkan.

Pada pengamatan saya berdasarkan pengalaman dan nasihat senior-senior, Da’i yang masih belajar hanya perlu membahagikan waktunya seharian-harian kepada dua bahagian. Iaitu masa study (belajar) dan masa dakwah. Tiada masa untuk Jahiliyyah. 

Dua bahagian masa selaku seorang pelajar merangkap Da'i

Kebiasaan yang berlaku dan amat merunsingkan adalah apabila seorang Da’i cuba mengisi Jahiliyyah dalam ruang masa dakwah. Lalu tanpa disedari, tergadailah dakwah.

Boleh jadi juga Dai tersebut mengisi masa Jahiliyyah dalam ruang masa study. Apabila gagal atau prestasi akademik merosot, si Da’i mula menyalahkan dakwah. Seterusnya menjadikan dakwah sebagai penyebab utama, bukan Jahiliyyah. Lantas, rasa futur (putus asa) menjelma. Si Da’i tadi mula menarik diri perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, sehingga membantutkan kelangsungan dakwah pada diri sendiri. Lalu tergadailah dakwah lagi sekali. Bahkan bukan setakat dakwah yang terlepas, malah prestasi akademik juga tidaklah meningkat. Sebaliknya, prestasi Jahiliyyah yang meningkat dengan pesat.

Lantaran itu, si Da’i akan berasa pelik dengan fenomena tersebut. Kesannya, dakwah semakin dikurangkan. Kononnya kerana ingin memberi masa dan tumpuan yang lebih untuk study. Namun, ternyata si Da’i tertipu lagi! Dakwah pula tergadai buat kesekian kali..

Masa kosong. Kebiasaannya diisi dengan pelbagai perkara yang tidak bermanfaat. Makin lama makin menghakis bahagian dakwah. Boleh juga mengganggu bahagian study. Bergantung kepada di mana Jahiliyyah itu diisi.

Alahai sahabat saya, Da’i.. Kasihan sungguh dakwah kerana bertuankan Da’i seperti anda. Sudahlah yang mengenali dakwah itu sedikit jumlahnya. Manakala dalam kalangan sedikit ini, banyak pula yang tertipu dengan Jahiliyyah. Terbukti Jahiliyyah telah merosakkan dakwah dan study.

Sahabat pembaca. Sebenarnya konsep dakwah itu luas. Tidak semestinya dengan keluar ke sana ke sini, berceramah, mendakwah orang kafir, dan lantang bersuara terhadap pemerintah yang zalim itu sahaja yang dikira dakwah.

Hakikatnya, segala perbuatan yang menyuruh ke arah kebaikan dan menegah segala kemungkaran itu adalah dakwah. Akhlak terpuji itu dakwah. Tidak mengumpat itu dakwah. Bahkan sebuah senyuman kepada insan lain juga dianggap dakwah. Asalkan segala perbuatan tersebut berpaksikan keikhlasan kepada Allah.

Rumusan yang boleh dibuat ialah jangan cuba menarik diri daripada dakwah. Kenapa? Kerana bahagian tersebut akan terisi dengan Jahiliyyah.

Jangan terpedaya!! Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghiaskan mata manusia dengan kecantikan dunia.


وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نِبِيٍّ عَدُوّاً شَيَاطِينَ الإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُوراً وَلَوْ شَاء رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu mengkehendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” [6:112]

Saya bukanlah insan terbaik untuk mengatakan semua ini. Saya sendiri ada ketikanya kecundang, ada waktunya mendahului ke hadapan. Namun, perkara hak itu perlu disampaikan walaupun pahit dan terkena atas kepala sendiri.


Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba Allah s.w.t. yang thabat pada jalan-Nya, amin.

حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم

3 comments:

KhadimulQuran said...

This world cannot break you, unless you give it permission. And it cannot own you unless you hand it the keys, unless you give it your heart. And so, if you have handed those keys to this life for a while, take them back.

This isn’t the End. You don’t have to die here. Reclaim your heart and place it with its rightful owner: Allah.

[Suhaib Webb]

Anonymous said...

terbaik..semoga boleh memberi peringatan utk ana sendiri & shbt2 yg lain..molek lah kite kongsi2 artikel ni utk usrah kite jazakallahhukhair..

Anonymous said...

semoga Allah redha...