Saturday, August 6, 2011

Pesan Buat Da'i

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


Ramai orang yang berbicara saban hari ingin mengubah kerosakan dalam masyarakat. Namun mereka menghabiskan masa untuk melakukan kerja-kerja untuk diri sendiri lebih banyak daripada berfikir tentang mengubah keadaan masyarakat. Bahkan, sebenarnya tidak berminat untuk terus bekerja keras untuk umat.

Mereka punya potensi yang diketahui, namun tidak ingin digali. Mereka punya ilmu yang tidak ingin difahami dan direalisasikan dalam hidup sebagai seorang Da’i. Mereka itu mungkin kita sendiri, yang tidak pernah cuba mengerti hakikat ini.

Seorang Da’i itu hebat dan perwatakannya pelbagai. Seketika engkau melihat dia berpakaian kemas siap dengan tali leher bercakap dengan penuh professional di hadapan orang-orang kenamaan.

Ketika yang lain engkau melihat dia bersusah-susah menolong menolak kereta orang yang kehabisan minyak.

Seketika yang lain engkau melihat dia berada di surau atau masjid menjadi Imam dengan bacaan yang sungguh menyentuh jiwa.

Seketika engkau melihat dia bergaul dengan pemuda-pemuda menyuntik mereka dengan semangat keislaman dari dalam jiwanya.

Di rumah dia menjadi isteri, suami, atau anak terbaik yang menyumbang kepada kesejahteraan keluarga.

Jika kita mengimbau sejarah, begitulah perwatakan yang tergambar pada Hasan al-Banna, mujaddid umat ini. Seorang ahli politik melihatnya sebagai pakar politik. Seorang pakar psikologi kagum dengan pengamatannya tentang jiwa manusia. Seorang pakar tasawwuf akan terpegun melihat kekhusyukannya dalam ibadah di malam hari.

Seorang Da’i berjalan sehari-hari berfikir bagaimana menambah baik keadaan umat yang makin parah, bukan menambah derita pada luka yang tidak terubat.

Dia mengajak kepada Allah, bukan kepada dirinya. Meletakkan pergantungan pada Allah, bukan pada kehebatan dirinya. Tatkala dia bersedih, dia mencari Allah sebagai tempat mengadu setiap masalah dan kesesakan jiwa yang dialami, larut dalam ketenangan jiwa di malam hari. Lalu siangnya dia bangun bersemangat kembali mencari segenap ruang yang dapat dia terobos untuk menyebarkan risalah Ilahi dan mengupayakan seluruh potensi demi memperbaik keadaan umat.

Saat orang sibuk berbicara soal kehancuran, seorang Da’i berusaha mencari jalan pembinaan.

Saat masyarakat memberikan keluhan dan menyatakan kekecewaan, seorang Da’i tampil memberi harapan dan membuka ruang berfikir untuk minda dan menyucikan jiwa-jiwa orang-orang yang disentuhnya.

Saat orang banyak berbangga dengan sejarah masa silam dan merasa hebat dengan kejayaan yang pernah kita alami, lalu berasa selesa dan tidak ingin bekerja lagi, seorang Da’i mengorbankan masanya, hartanya dan dirinya untuk menyelami kehancuran masa kini dan membina masa depan yang dinanti.

Da’i merupakan career yang tidak ada limitation pada sesiapa juga. Namun, sebelum Allah meletakkan label kepada kita sebagai Da’i, Jundullah, dan Ansarullah, kita harus benar-benar memahami bahawa tugas seorang Da’i bukan tugas part time, dan bukan untuk orang-orang yang sekadar ingin mengambilnya sebagai kerja sambilan.

Di sana ada perubahan yang menuntut pengorbanan, dan di sana ada tuntutan yang menuntut kesabaran.

Adakah kita seorang Da’i?



[Nukilan: Akhi Zulkifly bin Mohd Yunus]


 
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم

2 comments:

Anonymous said...

Baru nak hadam tsaqofah ad-da'iyyah la ustaz.Late delivery ni..(Better late than never but it is better to never late.)

KhadimulQuran said...

:)..

nak deliver kt saudara mcm mn sb alamat saudara pun saya tak tahu. ;)

apapun, semoga berguna untuk semua. ;)