Saturday, April 2, 2011

Dakwah Itu Indah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.




Ayat ini biasa kita dengar. Iaitu ayat berkenaan dakwah Islamiah. Merupakan dasar dan konsep dakwah dalam Islam. Sangat berkait rapat dengan tanggungjawab dan tugas umat Islam pada hari ini.

Dahulu, ayat ini Allah s.w.t. tujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Namun, mengikut Said Hawwa, sekarang ayat tersebut ditujukan kepada setiap individu dalam masyarakat muslim. Dalam erti kata lain, kepada seluruh umat Islam. Mengajak supaya berdakwah pada jalan Allah s.w.t.

Ini bermaksud, dakwah ini bukan hanya terhad kepada jemaah dakwah sahaja yang patut berdakwah. Bukan hanya kena pada ustaz, lebai, dan tuan guru. Bahkan diwajibkan kepada semua orang Islam. Wajib melaksanakan tugas dakwah menyeru manusia menunaikan titah perintah Allah s.w.t.


APAKAH ITU DAKWAH?

Mengikut ayat di atas iaitu ادع إلى سبيل ربك , bermaksud ajaklah manusia kepada jalan Tuhan kamu. Iaitu mengajak manusia supaya melakukan kerja-kerja Islam dan meninggalkan segala larangan Tuhan.

Dunia sekarang menyaksikan kesibukan setiap individu manusia. Dalam masa yang sama, semakin banyak kemungkaran yang tumbuh melata. Ini secara tidak langsung merujuk kepada bertambahnya tanggungjawab dakwah kita sebagai Muslim.

Sebagai contoh, apa yang berlaku dalam masyarakat sekeliling kita. Keadaan persekitaran menjadikan kita berat mulut untuk bercakap, bercakap berkenaan Islam. Seorang bapa misalnya, kalah dengan perangai anaknya. Seorang ibu juga tewas dengan sikap zuriatnya. Rentetan daripada itu, pelbagai gejala berlaku. Gejala yang tidak cukup pena untuk melaporkannya.

Sudah menjadi perkara biasa jika seorang bapa yang berkopiah, tetapi anak perempuannya berpakaian ketat dan mencolok mata. Ayah seorang Lebai, anak rambut serabai.

والعياذ بالله من ذلك..

Tahukah kita bahawa dakwah ialah semulia-mulia tugas para nabi (أشرف وظائف الأنبياء)?

 
Apabila kita berbicara soal agama Islam walaupun sepatah, sudah dikira dakwah. Bahkan ganjarannya lebih besar daripada beribadat. Hanya sekadar memberitahu kepada orang lain bahawa ini yang Allah suruh, itu yang Allah larang. Itulah dakwah.

Berat? Ya. Berat. Walaupun nampak senang. Mana tidaknya, apabila sepatah kita cakap, sepuluh patah melantun balik. Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa merintih di hadapan Allah s.w.t. Bukan kerana perkara lain, tetapi kerana tentangan hebat yang diterima Baginda s.a.w. kesan daripada dakwah.

Oleh yang demikian, dakwah dianggap sebagai tugas paling mulia. Tugas para Nabi. Justeru, Allah s.w.t. telah memuji tugas dakwah ini dalam firman-Nya:


 
Tiada ucapan paling baik, paling berkualiti, dan paling tinggi nilainya selain daripada ucapan orang yang mengajak (menyeru) orang lain supaya melaksanakan perintah Allah s.w.t.. Dalam masa yang sama, berani dan bangga menyatakan “saya adalah orang Islam”, “saya suka mengikut perintah Tuhan”, “saya nak ikut sunnah Nabi”, dan lain-lainnya.

Dalam kita tidak sedar, ungkapan-ungkapan di atas semakin hari semakin jarang kedengaran. Masyarakat takut mahu menyuarakannya. Bagi mereka, memadai secara perseorangan. Iman di dada. Bukan pada luaran. Malahan, menjadi satu kejanggalan jika kita melihat ada individu yang masih beramal dengan tatacara kehidupan Islam. Kita sendiri berasa pelik dan asing apabila kita ingin melakukan amal baik.

Misalnya, dalam suasana yang ditekan. Tiba-tiba ada beberapa orang yang bangkit melawan. Manakala yang lain semuanya diam diselubungi ketakutan. Insan yang bangkit tadi akan dipandang pelik, bodoh, tidak pandai memilih keadaan, dan macam-macam lagi tohmahan yang dilontarkan.

Sedarkah kita bahawa itulah jelmaan maksud hadis Nabi Muhammad s.a.w. iaitu:

بَدَأََ اْلإِِسْلاَمُ غَرِيْبًا وَسَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأَ فَطُوْبَى لِلْغُرِبَاءِ - رواه مسلم

“Islam itu bermula dengan keadaan aneh (asing/pelik) dan akan kembali menjadi aneh (asing/pelik) maka berbahagialah orang yang asing itu.” – HR Muslim


FADHILAT DAKWAH

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda:

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلَ أُجُوْرِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلىَ ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلَ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئاً – رواه مسلم

“Siapa yang mengajak kepada kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun, dan siapa yang mengajak ke arah kesesatan maka baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.” – HR Muslim.

Contohnya tidaklah sesusah yang kita sangka. Seperti mengajak solat berjemaah di masjid. Membaca doa sebelum makan. Minta tolong kawan mendengar dan semak bacaan al-Quran kita. Dan banyak lagi. Mudah sangat. Setiap perkara yang menyeru ke arah kebaikan itu adalah dakwah. Sama juga situasinya apabila menegah daripada melakukan maksiat.


KENAPA SAYA CAKAP DAKWAH ITU BERAT TETAPI MUDAH?

Kembali kepada salah satu contoh di atas. Apabila kita mengajak sahabat kita solat berjemaah ke masjid. Dia menuruti ajakan kita. Sama-sama solat berjemaah. Insya-Allah, Allah s.w.t. akan memberi ganjaran tambahan kepada kita iaitu pahala solat seperti pahala solat sahabat kita tadi tanpa mengurangkan sedikitpun pahalanya.

Katakanlah dia dapat 1k. Kita dapat 1k. Namun, Allah s.w.t. akan menambahkan kepada kita lagi 1k lantaran sahabat kita tadi turut solat bersama dan memenuhi ajakan kita.

Wah, banyaknya 1k pahala! Bagaimana boleh sampai sebanyak itu?

Tahukah kita bahawa setiap patah perkataan daripada ayat al-Quran yang dibaca oleh Imam, jika kita mendengarnya dengan penuh perhatian, kita akan diberi ganjaran seumpama pembacanya. Ganjaran pembaca al-Quran bukanlah pada ayat atau kalimah, bahkan pada setiap huruf-hurufnya. Khasnya dalam bulan Ramadhan. 100 huruf sudah menyamai 1k pahala!! Lihatlah betapa mudahnya ingin mendapatkan pahala. Itulah besarnya ganjaran mengajak manusia ke arah kebaikan. Maha Suci Engkau wahai Tuhanku!!

كُلُّ مَعْرُوْفٍ صَدَقَةٌ، وَالدَّالُّ عَلَى الْخَيْرِ كَفَاعِلِهِ

“Setiap kebaikan adalah sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan bagaikan orang yang melakukannya.”

Nabi Muhammad s.a.w. pernah berkata kepada Saidina ‘Ali r.a.:

“Wahai Ali, sesungguh jika kamu dapat mengajak atau membawa seorang lelaki (ke arah kebaikan) sehinggalah lelaki tersebut mendapat hidayah Allah s.w.t. dengan hasil usaha kamu, itu lebih baik kepada kamu daripada unta merah (kenderaan paling mahal pada zaman Nabi s.a.w.).”

Inilah antara kelebihan berdakwah. Semoga kita ringan mulut untuk berbicara soal Islam. Bangga mengajak orang ke arah kebaikan. Berhikmah menegah manusia daripada kemungkaran.


MATLAMAT ATAU DESTINASI DAKWAH

Berkata Said Qutb dalam tafsirnya, matlamat dakwah adalah kepada Islam. Kepada agama Allah s.w.t. Bukan kepada individu pendakwah itu sendiri (mencari pengaruh). Bukan juga kepada bangsa.


 
Demikianlah antara dalil tujuan dakwah iaitu kepada Allah s.w.t. Menyokong syariat Islam. Bukan selainnya.


USLUB (GAYA DAN TATACARA) DAKWAH

Daripada ayat pertama tadi, dapat dikeluarkan 3 tatacara dakwah. Iaitu:

1- Hikmah (Kebijaksanaan / Ilmu)
2- Mauizah Hasanah (Nasihat yang baik)
3- Mujadalah (Debat)


 
Akhir bicara, semoga kita semua thabat pada jalan Allah s.w.t. dan berkhidmat untuk Islam mengikut posisi masing-masing. Amin.

يَا مُقَلِّبَ القُلُوْبِ ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِيْنِكَ وَعَلَى طَاعَتِكَ
“Wahai Dzat yang membolak-balikan hati, tetapkanlah hati kami pada agama-Mu (Islam) dan pada ketaatan kepada-Mu.”

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

No comments: