بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Pesanan Buat Hakim
Siapa tidak kenal Abu Nawas. Seorang tokoh yang dianggap badut namun juga dianggap ulama besar. Ahli sufi, penuh dengan jenaka yang tiada tandingnya. Hamba Allah s.w.t. ini berasal dari Parsi. Dilahirkan pada tahun 750 M di Ahwaz. Meninggal dunia pada tahun 819 M di Baghdad.
Setelah dewasa Abu Nawas mengembara ke Basrah dan Kufah. Di sana beliau belajar bahasa Arab dan bergaul rapat sekali dengan orang-orang badawi padang pasir. Hasil daripada pergaulannya, beliau mahir berbahasa Arab, arif tentang adat istiadat serta kegemaran orang Arab. Abu Nawas juga pandai bersyair, berpantun, dan menyanyi. Beliau sempat pulang sekejap ke negeri kelahiran, kemudian kembali ke Baghdad bersama ayahnya. Mereka berdua berkhidmat kepada Sultan Harun, Raja Baghdad ketika itu.
Bapa Abu Nawas, Sheikh Maulana ialah salah seorang pegawai di Baghdad. Ketika usianya sudah lanjut, Sheikh Maulana jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia.
Abu Nawas dipanggil ke istana. Beliau diperintahkan oleh Sultan untuk menguburkan jenazah bapanya seperti kaedah atau ajaran Sheikh Maulana itu sendiri. Apa yang dilakukan Abu Nawas hampir tiada bezanya dengan Sheikh Maulana. Sama ada tatacara memandikan jenazah sehinggalah kafan, solat, dan doa. Oleh yang demikian, Sultan berhajat untuk melantik Abu Nawas menjadi Kadi menggantikan bapanya.
Setelah mengetahui niat Sultan, Abu Nawas yang cerdas itu tiba-tiba berubah menjadi seorang yang gila.
Selesai upacara pengkebumian bapanya, Abu Nawas mengambil sebatang pohon pisang yang sudah dikerat, lalu diperlakukannya seperti kuda. Dia menunggang kuda daripada batang pisang itu sambil berlari-lari dari kuburan bapanya sampai ke rumah. Orang ramai yang melihat menjadi hairan dibuatnya.
Pada hari yang lain dia mengajak kanak-kanak kecil dalam jumlah yang cukup banyak untuk pergi ke kubur bapanya. Kemudian dia mengajak kanak-kanak tadi bermain rebana dan bergembira di atas kubur.
Hal demikian itu telah menjadikan semua orang semakin hairan akan kelakuan Abu Nawas. Mereka menganggap Abu Nawas sudah menjadi gila disebabkan kematian bapanya, Sheikh Maulana.
Pada suatu hari, datang beberapa orang utusan dari Sultan Harun al-Rasyid menemui Abu Nawas.
"Hai Abu Nawas, kau dipanggil Sultan untuk menghadap ke istana." Kata wazir utusan Sultan.
"Buat apa sultan memanggilku? Aku tidak ada keperluan dengannya." Jawab Abu Nawas sambil lewa.
"Hai Abu Nawas kau tidak boleh berkata seperti itu kepada rajamu."
"Hai wazir, kau jangan banyak cakap. Cepat ambil kudaku ini dan mandikannya di sungai supaya bersih dan segar." Balas Abu Nawas sambil menghulurkan sebatang pohon pisang yang dijadikannya kuda.
Si wazir hanya menggelengkan kepala melihat kelakuan Abu Nawas.
"Abu Nawas, kenapa kamu tidak mahu menghadap Sultan?" Kata wazir.
"Katakan kepada rajamu, aku sudah tahu maka aku tidak mau." Jawab Abu Nawas.
"Apa maksudmu wahai Abu Nawas?" Tanya wazir kebingungan.
"Sudah, pulanglah kamu dan beritahu sahaja jawapanku tadi kepada rajamu." Sergah Abu Nawas sambil tunduk menggenggam debu dan dilemparkan ke arah si wazir dan pembantunya.
Si wazir segera bergerak keluar dari halaman rumah Abu Nawas. Mereka melaporkan keadaan Abu Nawas yang seperti tidak waras itu kepada Sultan Harun al-Rasyid.
Dengan geram Sultan berkata,"Kalian semua bodoh. Hanya menghadapkan Abu Nawas ke sini sahaja sudah tidak mampu. Pergi kamu ke rumah Abu Nawas dan bawa dia menghadap beta dengan sukarela ataupun paksa."
Si wazir segera berangkat bersama beberapa orang pengawal istana. Akhirnya, Abu Nawas dihadapkan di hadapan raja dengan paksaan.
Abu Nawas masih dengan sikap gilanya dan acuh tidak acuh. Bahkan lebih teruk apabila berada di hadapan Sultan.
"Abu Nawas, sila bersikap sopan!" Tegur Baginda.
"Wahai Sultan, tahukah kamu....?"
"Apa Abu Nawas?"
"Tuanku.. Belacan itu asalnya dari udang!"
"Kurang ajar kamu menghinaku Nawas!"
"Tidak Tuanku! Siapa cakap udang berasal dari belacan?"
Baginda rasa dipermain-mainkan lantas segera memberi perintah kepada para pengawalnya.
"Ajar dia! Pukul Abu Nawas sebanyak 25 kali pukulan."
Abu Nawas yang kurus kering itu akhirnya longlai tidak bermaya dipukul pengawal yang bertubuh kekar.
Selepas dipukul, Abu Nawas disuruh keluar dari istana. Ketika sampai di pintu gerbang kota, dia ditahan penjaga pintu.
"Hai Abu Nawas! Tempoh hari ketika kamu hendak masuk ke kota ini, kita telah mengadakan perjanjian. Adakah kamu lupa pada janjimu itu? Jika engkau diberi hadiah oleh Baginda maka engkau berkata: Aku bahagi dua; engkau satu bagian, aku satu bagian. Nah, sekarang mana bagianku itu?"
"Hai penjaga pintu gerbang, apakah kamu benar-benar menginginkan hadiah yang Sultan berikan kepada aku tadi?"
"lya, sudah tentu. Itukan perjanjian kita?"
"Baik, aku beri semuanya, bukan hanya satu bagian!"
"Wahh.. Ternyata kamu amat baik hati Abu Nawas. Begitulah seharusnya. Lagipun, kamu sering menerima hadiah daripada Baginda."
Tanpa banyak cakap, Abu Nawas mengambil sebatang kayu yang agak besar lalu memukul penjaga pintu tersebut sebanyak 25 kali. Tentu sahaja penjaga itu menjerit-jerit kesakitan dan menganggap Abu Nawas sudah tidak siuman.
Setelah penjaga gerbang kota itu tidak bermaya, Abu Nawas meninggalkannya begitu sahaja. Dia terus melangkah pulang ke rumah.
Sementara itu, si penjaga pintu gerbang mengadukan nasibnya kepada Sultan Harun al-Rasyid.
"Wahai Tuanku Syah Alam, ampun beribu ampun. Hamba datang ke mari mengadukan Abu Nawas yang telah memukul hamba sebanyak 25 kali tanpa suatu kesalahanpun. Hamba mohon keadilan daripada Tuanku."
Baginda segera memerintahkan pengawal untuk memanggil Abu Nawas. Setelah Abu Nawas berada di hadapan Baginda, dia ditanya.
"Hai Abu Nawas! Benarkah kau telah memukul penjaga pintu gerbang kota ini sebanyak 25 kali pukulan?"
Berkata Abu Nawas,"Ampun Tuanku, hamba melakukannya kerana sudah sepatutnya dia menerima pukulan itu."
"Apa maksudmu? Cuba kamu jelaskan sebab musababnya kamu memukul orang itu?" Tanya Baginda.
"Tuanku," kata Abu Nawas."Hamba dan penjaga pintu gerbang ini telah mengadakan suatu perjanjian bahawa jika hamba diberi hadiah oleh Baginda maka hadiah tersebut akan dibahagi dua. Satu bahagian untuknya dan satu bahagian untuk hamba."
"Pagi tadi hamba menerima hadiah 25 kali pukulan, maka hamba berikan pula hadiah 25 kali pukulan kepadanya."
"Hai penjaga pintu gerbang, benarkah kamu telah mengadakan perjanjian seperti itu dengan Abu Nawas?" Tanya Baginda.
"Benar Tuanku," jawab penjaga pintu gerbang.
"Tapi hamba tidak mengira jika Baginda memberikan hadiah pukulan."
"Ha ha ha.. Dasar pemeras ugut. Sekarang kena padahnya!" Sahut Baginda.
"Abu Nawas tidak bersalah, bahkan sekarang aku tahu bahawa penjaga pintu gerbang kota Baghdad ialah orang yang suka memeras ugut! Kalau kamu tidak mengubah kelakuan burukmu itu, sesungguhnya Beta akan memecat dan menghukum kamu!"
"Ampun Tuanku." Sahut penjaga pintu gerbang dengan gementar.
Abu Nawas berkata,"Tuanku, hamba penat, mahu istirahat. Tiba-tiba diwajibkan hadir ke tempat ini. Padahal hamba tidak bersalah. Hamba mohon ganti rugi kerana mengambil waktu istirahat hamba yang hilang ekoran seruan Tuanku. Sedangkan esok hamba harus mencari nafkah untuk keluarga hamba."
Sejenak Baginda mendongak, terkejut atas protes Abu Nawas. Namun tiba-tiba Sultan ketawa terbahak-bahak, "Ha ha ha ha.. Jangan khuatir Abu Nawas."
Baginda kemudiannya memerintahkan bendahara kerajaan memberikan sekantung wang perak kepada Abu Nawas. Abu Nawas pun pulang dengan hati gembira.
Tetapi sampai sahaja di rumahnya, Abu Nawas masih bersikap aneh bahkan semakin teruk seperti orang yang betul-betul gila.
Pada suatu hari Raja Harun al-Rasyid mengadakan mesyuarat dengan para menteri.
"Apa pendapat kamu semua tentang Abu Nawas jika kulantik sebagai kadi?"
Perdana menteri berkata,"Melihat keadaan Abu Nawas yang semakin parah otaknya, maka sebaiknya Tuanku melantik orang lain sahaja menjadi kadi."
Menteri-menteri yang lain juga mengutarakan pendapat yang sama.
"Tuanku, Abu Nawas telah menjadi gila, kerana itu dia tidak layak menjadi kadi."
"Baiklah, kita tunggu dulu sampai 21 hari kerana bapanya baru sahaja meninggal dunia. Jika tidak sembuh-sembuh juga, bolehlah kita mencari kadi yang lain."
Setelah berlalu sebulan, Abu Nawas masih dianggap gila. Maka Sultan Harun al-Rasyid melantik orang lain menjadi kadi kerajaan Baghdad.
Kononnya ada seseorang bernama Si Fulan sudah sekian lama bercita-cita ingin menjadi kadi. Dia mempengaruhi orang-orang di sekitar Sultan untuk bersetuju jika sia dilantik menjadi kadi. Maka tatkala Si Fulan ini menawarkan diri menjadi kadi kepada Sultan, dengan mudah Baginda bersetuju.
Setelah mendengar Si Fulan diangkat menjadi kadi, Abu Nawas mengucapkan syukur kepada Allah.
"Alhamdulillah aku telah terlepas daripada bala yang mengerikan. Tetapi, sayang sekali. Kenapa harus Si Fulan yang menjadi Kadi? Kenapa tidak orang lain sahaja?"
Mengapa Abu Nawas bersikap seperti orang gila? Ceritanya begini:
Pada suatu hari ketika ayahnya sakit parah dan hendak meninggal dunia, dia memanggil Abu Nawas untuk menghadap. Abu Nawas pun datang mendapatkan bapanya yang sudah lemah longlai.
Berkata Sheikh Maulana, "Hai anakku, aku sudah hampir mati. Sekarang ciumlah telinga kanan dan telinga kiriku."
Abu Nawas segera menuruti permintaan terakhir bapanya. Dia cium telinga kanan bapanya, ternyata berbau harum, sedangkan yang sebelah kiri berbau sangat busuk.
"Bagamaina anakku? Sudah kamu cium?"
"Iya ayah!"
"Ceritakankan dengan sejujurnya bau kedua-dua telingaku ini."
"Wahai ayahku, sungguh menghairankan. Telinga ayah yang sebelah kanan berbau harum sekali. Tetapi yang sebelah kiri baunya amat busuk."
"Hai anakku Abu Nawas, tahukah apa sebabnya jadi begini?"
"Wahai ayahku, ceritakanlah kepada anakmu ini."
Berkata Syeikh Maulana, "Pada suatu hari, datang dua orang mengadukan masalah mereka kepadaku. Aku mendengar keluhan salah seorang daripada mereka. Manakala yang seorang lagi tidak aku sukai maka aku tidak mendengar aduannya."
"Inilah risiko menjadi kadi. Jika kelak kamu suka menjadi kadi, maka kamu akan mengalami hari yang sama. Namun jika kamu tidak suka menjadi kadi, maka buatlah alasan yang masuk akal agar kamu tidak dipilih oleh Sultan Harun al-Rasyid."
"Tapi sudah semestinya Sultan Harun al-Rasyid akan tetap memilihmu sebagai Kadi."
Itulah sebabnya Abu Nawas pura-pura menjadi gila. Hanya untuk menghindarkan diri agar tidak dilantik menjadi kadi. Seorang kadi pada masa itu kedudukannya seperti hakim yang memutuskan suatu perkara. Walaupun Abu Nawas tidak menjadi kadi, namun beliau sering dipanggil untuk memberi nasihat oleh Sultan bagi memutuskan suatu perkara. Bahkan beliau kerap kali dipaksa datang ke istana hanya sekadar untuk menjawab pertanyaan Baginda Sultan yang aneh-aneh dan tidak masuk akal.
5 comments:
pergh! panjang!
saspen baca!
now, VO nk tye soalan
seriously.
1. menurut kisah ni, betul ke org arab kenal belacan?
2. betulkah dia mengajak kanak2 bermain gendang di kubur tu? blh ke?
Salam buat VO. :)
Sebenarnya "belacan" dalam cerita ni kalau nk diterjemah ke English, lebih tepatnya Shrimp Paste. So, bila nk memudahkan org melayu faham, istilah tu ditukar kepada belacan. Begitulah kisahnya hikayat dari mulut ke mulut.. :D
Dia mengajak kanak2 bermain rebana, tetapi tidak diceritakan pula sama ada kanak2 tersebut betul2 menyahut ajakannya dan bermain di atas kubur. Soal hukum pula, saya tidak arif. Mungkin VO boleh bertanya pada yang lebih tahu. ;)
Menarik!! ;)
Sungguh, menjadi hakim menuntut keadilan yang amat payah untuk dilaksanakan.
Kalaulah boleh 'menolak' seperti Abu Nawas..
agak kelakar...tp,amat bermakna...n_<
so they knew shrimp paste here ha?
thanks, prof!
susahnye nak berlaku adil...
Post a Comment