Sunday, October 2, 2011

Surah al-'Asr, Sunnah Dalam Berjemaah (Berdakwah)

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

وَالْعَصْرِ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-‘Asr: 1-3)



Dalam meniti titian kehidupan, kita tidak pernah lekang daripada tanggungjawab dan ujian. Kehidupan itu masa. Masa adalah usia setiap manusia. Insan pula hanya akan beruntung apabila memanfaatkan masa seperti saranan Yang Maha Esa.

Apa pendapat anda jika saya mengatakan, kunci utama untuk mengaut keuntungan di dunia adalah dengan BERJEMAAH? Jika tidak, kita pasti akan tergolong dalam kalangan mereka yang rugi. Di dunia mahupun di akhirat.

Kenapa saya berkata begitu? Sifirnya amat mudah. Allah s.w.t. telah menjelas bahawa sesiapa sahaja yang hidup di dunia ini akan mengalami kerugian dan penyesalan yang tiada berkesudahan kecuali jika mereka mengamalkan 4 perkara iaitu:
1.Beriman kepada Allah s.w.t.
2.Melakukan amal kebaikan.
3.Menyeru ke arah kebenaran. 
4.Bersabar (dan redha) dengan setiap ujian.

Bukan mengamalkan salah satu, tetapi keseluruhannya. Kerana setiap perkara tersebut bersangkut-paut antara satu sama lain. 

Pertama, beriman kepada Allah s.w.t. dan beramal soleh. Ini menepati firman-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Adz-Dzariyat: 56)


Al-Quran juga sering mendatangkan secara bersama dua perkara iaitu orang mukmin dan beramal soleh (perbuatan baik). Ini ialah dalil bahawa apabila seseorang itu betul-betul telah beriman kepada Allah s.w.t., semestinya dia akan melakukan amal soleh. Jika tidak, si fulan itu belum layak digelar sebagai mukmin.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ وَأَقَامُواْ الصَّلاَةَ وَآتَوُاْ الزَّكَاةَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Al-Baqarah: 277)


Saya percaya, anda semua faham bahawa amal soleh itu tidak hanya terhad kepada solat dan zakat sahaja. Malah, menyeru ke arah kebaikan dan kebenaran juga merupakan amal soleh. Maka, apabila disebut dalam ayat di atas berkenaan amal soleh, ia mencakupi keseluruhan amal soleh termasuklah amar ma’ruf dan nahi mungkar (menyeru ke arah kebaikan dan menegah segala kemungkaran).


Baiklah. Antara amal soleh yang amat berat untuk dipraktikkan ialah menegakkan kebenaran. Kalaulah mudah, mana mungkin terciptanya ungkapan di bawah:

قُلِ الْحَقَّ وَلَوْ كَانَ مُرًّا

“Katakanlah oleh kamu akan kebenaran walaupun pahit.”


Perkara ketiga ini membawa kita kepada perkara keempat iaitu SABAR. Apabila kebenaran itu pahit, maka kesabaran itu mesti. Ini menjelaskan kepada kita maksud firman Allah s.w.t. bahawa kebenaran itu tidak pernah pudar atau terpisah daripada kesabaran. Justeru, dua perkara tersebut dinyatakan bersama dalam surah al-‘Asr. Surah ini juga menerangkan bahawa 4 perkara yang telah digariskan itu adalah sunnatullah dan lumrah dalam kehidupan.




Bagaimana kita hendak menyeru kepada kebaikan dan bersabar dengan ujian jika kita tidak melibatkan diri dalam aktiviti dakwah serta jemaah? Sedarkah kita bahawa berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran itu melibatkan dua orang (atau lebih) individu yang bergelar manusia? Mana mungkin kita hendak mengamalkan perkara ketiga dan keempat tanpa terjun ke dalam lautan masyarakat.

Apabila beriman, wajib beramal soleh. Apabila beramal soleh, mesti menegakkan kebenaran. Apabila menegakkan kebenaran, pasti mendapat tentangan seterusnya menuntut kesabaran. Fikir-fikirkanlah..


Ya. Hanya mereka yang melibatkan diri dengan gerak kerja dakwah (menyeru ke arah kebaikan dan menegah segala kemungkaran) dan berjemaah sahaja tidak tergolong dalam kalangan mereka yang rugi. Demikianlah jalinan antara 4 perkara yang sentiasa berlaku dalam realiti kehidupan manusia. Setiap satu daripadanya membawa kepada yang seterusnya. Beruntunglah sesiapa sahaja yang mempraktikkannya demi Allah, Pencipta alam semesta.



--------------------------------
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم

2 comments:

Optimis said...

Assalamualaikum

Bagaimana pula keadaan segelintir orang yang memasuki jemaah dan berasakan itu adalah tiket untuk ke syurga?

Mereka berasakan bahawa mereka adalah golongan yang mulia dan lebih baik daripada orang lain.

Mohon pandangan saudara. Terima kasih.

KhadimulQuran said...

Wa'alaikumussalam wt. wbt. dan salam perkenalan buat Optimis. :)

Saya pernah post satu entry sebelum ini yang menyentuh sedikit sebanyak berkenaan persoalan Akh/Ukht. Ini pautannya, http://musafirperjuangan85.blogspot.com/2011/08/apa-ertinya-saya-memeluk-dakwah.html

Berdakwah sememangnya satu jaminan atau tiket untuk ke syurga. Kenapa? Kerana itulah jalan yang dirintis oleh Nabi Muhammad s.a.w. Seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Yusuf, ayat ke 108:
قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."

Namun, jika tiket tersebut telah membuatkan golongan pendakwah berasa ego, istimewa berbanding orang lain, itu silap. Wabak ini boleh dikatakan menular luas dalam kelompok da'i.

Kenapa silap? kerana dakwah bukan untuk mencari kemuliaan. Tetapi tanggungjawab setiap insan bagi menuruti perintah Tuhan. Dengan ikhlas dan tidak mengharapkan perkara lain selain redha Allah s.w.t. semata-mata.

Kita tidak tahu amalan kita yang mana diterima oleh Allah s.w.t. Mungkin orang yang tidak berdakwah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Itu hak mutlak Allah s.w.t. untuk memilih.

Namun, secara kesimpulannya, jika Akh/Ukht dibentangkan pelbagai bentuk perniagaan ataupun pinjaman. Semuanya tiada jaminan keuntungan melainkan satu, iaitu perniagaan dakwah. Agaknya yang mana satu akan Akh/Ukht pilih?

Lumrah manusia pasti akan memilih sebuah perniagaan yang dia rasa dapat menjamin masa depannya, kan?

Itulah jalan dakwah. Sedangkan perniagaan selainnya, ada yg berjaya, tetapi yang rugi lebih banyak.

Akan tetapi, perlulah diingatkan, walaupun kita telah memilih perniagaan yang ada jaminan, di sana juga pasti akan ada syarat dan perjanjian. Maka, apabila kita telah melanggar syarat serta peraturan tersebut, dengan sendirinya perjanjian akan terbatal.

Semoga penjelasan saya ini dapat membantu Akh/Ukht. Walaupun tidak banyak, paling tidak dapat menjawab sedikit persoalan yang terbuku dalam benak Akh/Ukht. :)

Hingga lain masa dan ketika. Saya doakan Akh/Ukht sentiasa dinaungi rahmat serta redha Allah s.w.t., amin.

Salam juang dari saya, Assalamualaikum. :)