Wednesday, January 4, 2012

Seputar Tentang Dakwah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.



Dakwah secara literal bererti menyeru dan mengajak. Apabila kita melihat pengertian yang lebih khusus bersangkutan dengan Islam, ia adalah satu urusan menyeru manusia kepada Allah dengan hikmah dan teladan yang baik untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

Dakwah adalah satu proses yang telah berlaku, sedang dan akan terus berlaku sehingga hari kiamat, kerana ia adalah urusan Allah yang akan terus dipelihara-Nya. Sekalipun orang-orang yang berdakwah mati satu persatu, akan terus lahir di atas muka bumi ini orang-orang baru yang akan menanggung amanah tersebut.

Kita juga menikmati Islam dan Iman pada hari ini setelah berlakunya proses dakwah yang panjang sejak Rasulullah s.a.w. dibangkitkan. Bahkan sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w. lagi, telah berlaku proses dakwah oleh para nabi dan rasul sebelum baginda. Rasulullah s.a.w. dibangkitkan sebagai pelengkap kepada dakwah para nabi dan rasul sebelumnya, dengan membawa sistem yang lengkap dan teratur, iaitu Islam itu sendiri yang berlandaskan al-Quran dan al-Hadith.

Maka, dakwah itu adalah sesuatu yang berkait secara langsung dengan sesiapa sahaja yang memeluk Islam. Peringkat kefahaman yang sempurna tentang Islam itu belum tercapai sekiranya kita masih belum memahami peranan kita sebagai seorang Da’i ilallah.

Walau bagaimanapun, kita harus benar-benar faham akan luasnya skop dakwah, bukan hanya tertumpu pada aspek-aspek tertentu sahaja. Secara ringkasnya, dakwah itu merangkumi seluruh kehidupan kita dan ia akan mencorakkan cara hidup kita.

Apabila kita memisahkan dakwah daripada mana-mana aspek dalam kehidupan, apakah kita masih bangga mengatakan bahawa kita hidup di jalan dakwah?


DAKWAH dan PELAJAR

Seorang mahasiswa da’i sepatutnya mengenal pasti kepentingan antara dua aspek, iaitu dakwah dan study.

Adakah bila berdakwah, automatik study akan terencat?

Atau bila study, tidak boleh berdakwah?


Dakwah itu seni. Dakwah itu natural. Sesiapa yang menjadi Islam, maka seruan berdakwah itu sudah kena ke atasnya. Bukan hanya terpikul atas bahu ustaz-ustaz, atau para penceramah sahaja.

Persoalannya, bagaimana cara berdakwah itu?

Tentunya dalam skop sebagai seorang pelajar, berdakwah tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada seseorang untuk bergelar “pelajar”.

Da’i yg bagus, akan memecut dakwahnya tetapi dalam masa yang sama, tidak kehilangan identitinya iaitu siapa dia. Sama ada seorang pelajar, seorang doktor, hatta pemilik kedai runcit atau petani. Masing-masing mampu dan ada keupayaan untuk berdakwah. Cuma bezanya, pada skala mana magnitud dakwah itu dapat digerakkan.

Mungkin seorang student yg bz, hanya dapat berdakwah pada malam hari melalui laman blognya. Mungkin seorang doktor berdakwah secara tidak langsung semasa sesi rawatan.

Manakala dakwah pula, tidak semestinya perlu besar-besaran (mensasarkan kepada ribuan pengunjung, membawa topik-topik berat seperti bersyarah tentang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah atau Syahadatul Haq dan sebagainya), cukup sekadar menyampaikan tauladan yang baik. Itu pun sudah dikira sebagai dakwah!


--------------------------------
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم

2 comments:

Paradise Gal said...

yup. sangat betol. setuju dengan penulisan ini. apa jua yang baik, yang mampu menarik orang lain untuk melakukanya pon boleh dikira sebagai dakwah. yang pasti niat mesti lillahita'ala.

Unknown said...

mohon share, terima kasih. moga Allah swt melimpahkan rahmat dn kasih sygNya pd saudara. amin..