Tuesday, April 10, 2012

Merealisasikan Impian Sang Da’i


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

“Impian yang tidak disusuli amal itu adalah jauh daripada realiti.”

Suatu malam saya duduk bersama beberapa teman, dan bertanyakan kepada mereka, “Apakah yang kalian impikan dalam masa 10 tahun akan datang tentang keadaan umat ini?”

Jawapannya pelbagai, ada yang inginkan gejala sosial dalam apa juga bentuk terus berkurang dan ditangani, ada yang inginkan bahawa tidak ada penindasan berlaku terhadap satu sama lain. Ada pula yang menginginkan bahawa Islam itu menjadi tertinggi dan diamalkan oleh seluruh masyarakat.

Ya, semuanya inginkan kebaikan dan perubahan ke arah masyarakat yang lebih soleh. Sebuah masyarakat yang bertaqwa kepada Allah, dan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Jawapannya sudah diduga. Tidak ada seorangpun yang inginkan keadaan menjadi lebih buruk, melainkan orang-orang yang memang niatnya membawa kerosakan ke atas muka bumi.

Soalan tadi disusuli dengan soalan kedua, “Apakah yang telah kalian lakukan untuk merealisasikan impian-impian tersebut?”

Lalu malam itu menjadi sunyi seketika, masing-masing merenung dalam tentang amal masing-masing.

“Bayangkan ketika Rasulullah s.a.w. mula-mula diutuskan, dan ketika baginda duduk bersama para sahabat yang mula-mula memeluk Islam, apakah agaknya yang dibayangkan oleh mereka tentang keadaan umat suatu hari nanti? Atas keimanan, mereka yakin akan kemenangan agama Allah, namun keyakinan mereka tidak terhenti di situ. Mereka terus menuju kepada AMAL!”

Amal Adalah Syarat Pertolongan Allah

Syed Qutub dalam bukunya Hadzad Diin (Inilah Islam) telah menggariskan bahawa Islam adalah sebuah manhaj (sistem) yang Allah turunkan untuk manusia. Mustahil jika kita mengharapkan kemenangan Islam itu terjadi secara tiba-tiba tanpa ada segolongan manusia yang memperjuangkan dan mempertahankannya.

Bukan Allah tidak cintakan agama-Nya dan tidak boleh memenangkan agama-Nya tanpa perlu susah payah manusia, tetapi itulah Sunnatullah. Sememangnya ketetapan Allah bahawa Islam itu harus dipikul dan disebarkan oleh segolongan manusia yang beriman.

Maka bertepatanlah dengan firman-Nya:

إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…” (Ar-Ra’d:11)

Jelas daripada ayat di atas bahawa Allah hanya akan menolong orang-orang yang berusaha untuk membawa perubahan terhadap masyarakatnya. Sebelum pertolongan Allah terjadi, manusia terlebih dahulu harus bekerja keras menolong agama Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad:7)

Kesungguhan beramal. Itulah kunci kepada pertolongan Allah terhadap umat Islam. Dengan kesungguhan yang kita tunjukkanlah yang akan menjadi sebab terbukanya jalan-jalan menuju kemenangan:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat baik.” (Al-’Ankabuut:69)

Syed Qutub dalam buku tersebut membawa contoh peperangan Uhud, di mana Allah mengajar umat Islam bahawa kelalaian mereka dalam amal boleh mengundang kekalahan, sekalipun mereka dalam golongan yang membela agama Allah.

Jika kita merasakan selesa menjadi seorang muslim, sedangkan kita tidak beramal untuk berdakwah kepada masyarakat, maka layakkah kita mengimpikan kemenangan Islam?

Cukupkah Amal Kita?

Amallah yang menjadi penghubung antara impian dan kenyataan. Tanpa amal, mimpi hanya tinggal mimpi. Amal yang bagaimana yang akan membawa kita mendekati impian yang kita sama-sama miliki?

Ya! Impian agar umat ini kembali kepada Allah dan taat melaksanakan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya. Impian agar kita hidup terpelihara dalam masyarakat yang sentiasa terdorong untuk kebaikan.

Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya Kaifa Nad’u Ilal Islam (Bagaimana Mengajak Kepada Islam) berpesan:

“Beramal untuk Islam belumlah dapat dilakukan oleh pendakwah dengan hanya menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada masyarakat secara lisan. Kata-kata yang diucapkannya itu harus disertainya dengan niat yang ikhlas, hidup untuk Islam, mati kerana Islam, tidak pernah lupa untuk mengingati Allah, dan berjuang untuk menegakkan agama Allah.”

Beliau menambah komentarnya tentang orang-orang yang digelarnya sebagai orang-orang yang hanya tegak di pinggir dakwah:

“Mereka mengira bahawa perintah-perintah Allah itu terlepas daripada tanggungjawab setelah mereka menulis buku tentang Islam, menulis artikel yang dimuat dalam suratkhabar atau majalah, mengemukakan khutbah yang jitu di masjid, atau mengisi pengajian. Ada pula yang menyangka, bahawa puncak kemuliaan dan kedudukan yang dicita-citakan ialah terdaftar namanya sebagai pengurus yang aktif dalam sesebuah organisasi Islam dan nampak kegiatannya yang rapat bertujuan memajukan organisasi itu.”

Nah, cukup terkena pesanan beliau kepada kita. Majoriti daripada kita merasa cukup dengan melakukan dakwah Touch N Go. Ibarat melepaskan batok di tangga. Kita merasa cukup dengan amal yang sedikit dan tidak serius, sedangkan amal-amal yang sedikit dan tidak bersungguh-sungguh tidak mungkin akan membawa kepada terbinanya sebuah generasi yang berkualiti.

Akhirnya, kita hanya mencetak buku-buku ataupun menulis di blog-blog (seperti yang sedang anda baca), sedangkan kita tidak mencetak generasi al-Quran yang bergerak sepertimana yang Rasulullah contohkan.

Bukan tidak boleh melakukan semua itu, bahkan itu semua adalah sarana dakwah. Namun, persoalan yang lebih utama yang harus kita tanyakan kepada diri kita, sudah setakat mana kita membina diri kita mengikut acuan Islam?

Kemudian, sudah berapa orang yang kita bina peribadinya berlandaskan kepada Islam?

Orang-orang yang kita dekati dan tanamkan keimanan yang jitu dalam dirinya, lalu kita kembangkan potensinya untuk Islam, dan kita gembleng bersama-sama untuk dakwah Islam.

Tidak dapat tidak, amal yang utama sekarang ini berbalik kepada tarbiah. Pembinaan yang kemas dan tersusun. Pembinaan yang memperhatikan segenap aspek dan berterusan. Pembinaan yang memperincikan setiap peribadi manusia, mengkaji permasalahannya dan menyelesaikannya mengikut acuan Islam. Apakah kita merasa susah untuk melaksanakannya?

Jika begitu, adakah kita merasakan bahawa Rasulullah dan para sahabat melalui perjalanan yang mudah untuk menyebarkan Islam dalam masyarakat yang terkenal jahiliyahnya?

Sememangnya jalan ini tidak mudah dan tidak dapat dilalui melainkan oleh orang-orang yang kuat dan dipilih oleh Allah. Berusaha keraslah agar kita menjadi salah seorang yang terpilih.

Sekali lagi, bertanyalah kepada dirimu wahai sang Da’i, sudahkah engkau membina peribadi dirimu selayaknya sebagai seorang Da’i?

Kemudian sudahkah engkau membina peribadi-peribadi teman-teman di sekitarmu atau di medan dakwahmu untuk sama-sama menjadi mukmin yang berkualiti?

Jika belum, apa sebenarnya yang sedang engkau usahakan untuk merealisasikan impian sucimu?

Sesungguhnya impian itu, walau sebesar manapun, tidak akan dapat dicapai tanpa amal yang bersungguh-sungguh dan berterusan. Sama-samalah kita merenung dan muhasabah amal dakwah kita.

وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
“Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah:105)

Jika kita masih bermimpi, bangunlah dan ayuh menuju ke medan amal. Jika ada sahabat-sahabat di sekitar yang masih tertidur, kejutkanlah dan katakan kepada mereka, “Mimpimu sudah tamat, dan amalmu belum terlambat, bersihkan dirimu dan ayuh kita membina Umat!”


--------------------------------
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم

1 comment:

KhadimulQuran said...

Salam 'Alaik.

Entry last sblm berangkat pulang ke tanahairku, Malaysia.

Wa ilal liqa2, ma3assalamah. :)