Saturday, April 14, 2012

Jurang Antara Ilmu Dan Amal

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

"Andai saja jurang itu tiada, hancurlah nifaq di dalam dada."

Antara ilmu dan amal itu ada jurang. Boleh jadi jurangnya itu terlalu dalam sehingga tidak bertemu keduanya. Ibarat puncak gunung dan dasar laut. Ilmu adalah sesuatu yang tersimpan, dan amal itu sesuatu yang terlihat


Belum tentu yang terlihat itu didasarkan kepada ilmu, atau yang tersimpan itu melahirkan amal.

Begitulah fenomena yang berlaku sekarang. Jurang terlalu besar antara ilmu dan amal. Umum mengetahui bahawa solat 5 waktu itu wajib, namun ramai yang masih meninggalkannya. Ilmu itu tidak melahirkan amal, iaitu komited dengan solat.

Tidak kurang juga yang  beramal tanpa ilmu, tanpa faham akan amalannya. Dek kerana itu, Imam Hassan al-Banna menekankan faham atas amal.

Untuk memahami, kita harus memiliki ilmu. Namun ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Ramai yang boleh berceramah, memberi tazkirah, namun tidak mengerjakan apa yang dikatakannya.

Ingatlah dan sedarlah akan firman-Nya:
"Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (As-Saff: ayat 3)

Ramai yang mengetahui bahawa Allah yang menentukan takdir kehidupan, namun tidak ramai yang mampu redha dengan setiap ketentuan.


Begitu juga ramai yang mengetahui bahawa rezeki itu adalah anugerah Allah, namun tidak ramai yang benar-benar meminta rezeki daripada-Nya. Meletakkan pergantungan pada hasil usaha sendiri, tanpa sedikitpun merasa perlu kepada-Nya.

Begitu juga nafsu, semua tahu bahawa ia selalu cenderung kepada dosa dan maksiat, lalu kita harus berperang dan mengawalnya. Namun di peringkat amal, ramai yang tewas dan tidak bersungguh-sungguh (mujahadah) melawannya.

Ayuhlah kita merapatkan jurang antara ilmu dan amal.


--------------------------------
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم

No comments: