Tuesday, July 30, 2013

Ujian Dan Manusia Tidak Dapat Dipisahkan

 بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
 

Kita sebagai manusia, selalu asyik mengejar apa sahaja yang diajukan oleh kehendak kita. Dalam masa yang sama, kita lupa segala nikmat dan rahmat yang Tuhan telah kurniakan kepada kita. Bagi yang mempunyai mata, Allah suruh kita guna untuk melihat perkara yang baik-baik, membaca benda yang elok-elok, menambah pahala dengan memandang pada apa yang Allah suka.

Sama juga dengan telinga, hidung, tangan, kaki, dan anggota-anggota lain. Telinga bukan untuk mendengar umpatan dan lagu-lagu yang melalaikan. Hidung bukan untuk menghidu bau-bauan pasangan tidak syar'i. Tangan bukan untuk menaip mesej kepada 'kekasih' yang kononnya atas dasar kerja, bukan untuk meraba-meraba tangan 'wanita pujaan', apatah lagi mencuri atau merompak. Kaki bukan untuk melangkah ke tempat-tempat membeli belah, restoran, dating, tetapi malas ke masjid untuk berjemaah. Demikian adalah contoh yang biasa berlaku, bahkan lebih banyak daripada itu.

Bagi mereka yang Allah bagi nikmat berkeluarga (walaupun sentiasa bergelora), berkerja (walaupun kerja biasa-biasa dan tidak stabil), bergaji (cukup makan sahaja), mempunyai kereta (yang sederhana) dan rumah (yang muat-muat untuk 2-3 orang anak sahaja) untuk beristirehat seadanya, apabila melihat orang lain mempunyai keluarga yang tidak dilanda masalah (pada pandangannya), berkerja dengan pangkat besar, bergaji lumayan, berkereta mewah, dan memiliki rumah besar, pasti terdetik dalam hati betapa sedapnya kalau ada keluarga yang aman, pangkat besar, gaji tinggi, rumah cantik, dan kereta mahal macam si fulan dan si fulan. Justeru, kita berusaha untuk mendapatkan kehidupan seperti itu. Bertungkus-lumus setiap hari. Demi merealisasikan kehendak sanubari.

Kesannya, kita akan mudah cemburu, mudah sakit hati, mudah buruk sangka, dan macam-macam lagi perasaan apabila orang lain mendapat lebih sedangkan usaha kita paling gigih. Orang lain dapat beli kereta baru, kita? Orang lain dapat naik pangkat, kita? Orang lain bos sayang, kita? Orang lain itu ini, kita?

Kita akan nampak usaha kita sahaja, pengorbanan kita sahaja, kerajinan kita sahaja. Orang lain? Huhh.. Mana boleh lawan kerja kita. Kita terbaik! Sepatutnya kita yang dapat. Mana boleh orang lain dapat.

Sebenarnya, kita leka. Tidak sedar akan hakikat kehidupan kita. Setiap nikmat yang kita ada itu, kita tak perasan. Kita nampak nikmat yang tiada pada kita. Jadi, untuk menjadikan kita sedar, kembali ke pangkal jalan, kembali kepada Tuhan, maka Allah turunkan ujian. Ujian yang bagaimana?

Bayangkan apabila Allah tarik balik nikmat yang Dia bagi, Dia jadikan kita buta, pekak, bisu, kudung kaki dan tangan, agak-agak apa reaksi kita pada masa itu? Apa doa kita? Apa harapan kita? Masih belum sedarkah kita? Betapa nikmat Allah itu WAJIB disyukuri.

Begitu juga dengan situasi lain. Apabila Allah berhentikan kita daripada kerja yang Dia bagi pada kita, matikan suami atau isteri atau anak-anak kita, matikan ibu bapa kita (bagi mereka yang selalu menderhaka), dan semua nikmat yang Allah bagi, Allah tarik balik semuanya. Agak-agak, macam mana situasi kita? Masih tidak mahu bersyukur?

Bagi mereka yang suka berzina (sama ada zina tangan iaitu melancap atau persetubuhan haram), nanti Tuhan buat kita mandul atau mati pucuk? Nak berzina lagi ke? 

Bagi yang ada 'kekasih', apabila Tuhan potong jari kita, potong lidah, butakan mata, jadikan kita cacat, mulut senget, hidung carik, telinga sumbing, masih nak bercouple? Agak-agak pasangan kita nak ke kat kita kalau kita cacat? Kalau dia nak pun, Tuhan terima ke taubat kita? Tambah-tambah selepas Tuhan dah bagi azab baru nak bertaubat..

Ini adalah hakikat yang perlu kita sedar. Setiap nikmat itu perlu disyukuri dan digunakan pada jalan yang Allah sayang, bukan pada jalan yang membuatkan Allah marah. Manusia itu lupa, sehinggalah Allah ingatkan dengan ujian dan bala, barulah mereka sedar bahawa di sana ada Tuhan yang memerhatikan mereka. 

Kalau tiada ujian, agak-agak kembali tak kita kepada Tuhan?




--------------------------------
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم

No comments: