بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum.
Imtihan kembali berkunjung. Sana sini terzahir pelbagai ragam mahasiswa. Status “doakan aku” dan seumpama dengannya terbit bagai kunang-kunang malam yang terbang tanpa tujuan. Tidak kurang juga yang kembali ingat kepada Allah setelah sekian lama memutuskan hubungan dengan-Nya. Syukur. Alhamdulillah. Walaupun hanya pada saat yang getir sahaja Allah didamba, itu lebih baik daripada terus alpa dengan hiburan nestapa. Namun, sudah semestinya istiqamah dalam kebaikan itu paling baik pada setiap agenda.
Saya juga tidak terkecuali. Nilai pahala yang tidak mampu menandingi saham dosa. Sering terjerumus ke lembah durjana.
Saya juga tidak terkecuali. Nilai pahala yang tidak mampu menandingi saham dosa. Sering terjerumus ke lembah durjana.
"Ya Allah,
Imtihan bagi Kuliah al-Quran pada tahun ini dibahagi kepada dua bahagian masa. Tahun 1 bersama tahun 3, dan tahun 2 bersama tahun 4. Tahun ini juga merupakan julung-julung kali lokasi peperiksaan berjaya dipusatkan. Tiada lagi menumpang di bangunan Kuliah Usuluddin.
Selain itu, syarat kelayakan untuk masuk peperiksaan telah banyak dikemas kini. Soal kehadiran 75% amat dititikberatkan. Bahkan menjadi syarat utama bagi melayakkan mahasiswa menduduki peperiksaan. Daripada wajib hadir setiap hari (bagi subjek Qiraat sahaja) kepada wajib hadir setiap subjek. Ini bagi merawat gejala ponteng atau balik awal sebelum tamat sesi pembelajaran. Inilah kuliah pertama dalam Universiti al-Azhar yang berjaya melaksanakan peraturan kehadiran 75%.
Walau kamu merayu dan menangis dengan air mata darah sekalipun, pintu hati ‘Amid tetap kejap tertutup. Begitulah kiasan betapa tegasnya Dekan Kuliah al-Quran, Dr. Sami Abdul Fatah Hilal. Mengotakan apa yang dikata. Muktamad tanpa bicara.
Dalam keadaan musim imtihan yang tenang (kerana kebanyakkan mahasiswa lebih suka bersendirian), ditambah pula dengan musim sejuk yang damai (walaupun menyengat sampai ke sumsum), kami tiba-tiba dihangatkan dengan satu perkhabaran. Bukan setakat perkhabaran biasa, bahkan ditunjangi dengan amaran.
Bermulanya semester kedua nanti, tiada lagi budi bicara dan belas kasihan untuk mahasiswa asing (bukan arab). Syarat yang sebelum ini masih diberi kelonggaran kepada kami bakal diketatkan. Kalau sebelum ini ruang rayuan terhampar luas, tetapi kali ini hamparan tersebut akan digulung, diikat, seterusnya dikunci di dalam stor. Tiada kata dua. Bukan lagi Fardhu Kifayah. Kehadiran dihukum sebagai Fardhu ‘Ain. Tiada istilah “wakil ke kuliah”.
“LIKE!” Butang yang akan saya klik jika ada. Banyak kebaikannya pada pandangan saya. Namun, jangan lupa. Walaupun kos lepas (keburukan) dianggap kecil, itu tidak bererti lemah. Mungkin sahaja kesan buruk tersebut menjadi besar dan mampu menggugat kesan baik yang pada dahulunya aman di zon selesa.
Di samping isu kehadiran, pihak kuliah akan menyediakan rumah, makanan harian, pengangkutan, dan kitab kepada semua mahasiswa asing. SEGALANYA PERCUMA!! Turut disertakan duit poket.
Wah!! Hebat sungguh tawaran tersebut. Teruja mendengarnya. Hanya bersyaratkan kehadiran 75% penuh. Pasti ibu-ibu dan bapa-bapa yang mempunyai anak di sini seronok apabila mendapat tahu berita di atas. Cuma, saya tidak pasti status tawaran tersebut terhadap mahasiswa yang sudah berumahtangga. Ada desas-desus mengatakan turut termasuk pasangan yang sudah berkahwin. Ada juga yang menyangkal. Silalah tunggu dan lihat. Kalau rajin, pergi tanya.
Hari ini, 11 Januari 2011 telah berlangsungnya satu sesi dialog antara mahasiswa asing dengan pihak Dekan Kuliah al-Quran. Setiap mahasiswa disoal tentang faktor kehadiran yang tidak memuaskan. Masing-masing menyatakan alasan dan sebab. Tidak perlulah saya nyatakan isi dialog tadi. Yang penting, tepuk dada tanya iman.
Saya mengaku bahawa pihak mahasiswa memang wajar dipersalahkan. Ekoran sifat MALAS YANG TERLAMPAU. Tetapi kelemahan juga tidak kurang banyaknya di pihak kuliah. Secara keseluruhan, koreksilah kelemahan masing-masing. Baiki. Terus membaiki. Dan jangan jemu dibaiki.
“Proses pengislahan diri ke arah yang lebih baik bukanlah sesingkat waktu siang ke waktu siang berikutnya. Tetapi sebuah proses yang berpanjangan selagi hayat dikandung badan.”
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu segala kebaikan, apa yang aku ketahui dan apa yang belum aku ketahui. Aku memohon kepada Engkau Syurga dan perkara-perkara yang boleh mendekatkan aku kepadanya sama ada perkataan atau perbuatan. Aku berlindung dengan Engkau dari Neraka dan dari perkara-perkara yang boleh mendekatkan aku kepadanya sama ada perkataan atau perbuatan."
وإلى اللقاء مع السلامة
No comments:
Post a Comment