بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Siapa tahu tentang peperangan Qadisiyyah? Sebuah peperangan antara tentera Islam menentang musyrikin Parsi yang menyembah api (Majusi).
Perang ini merupakan pertempuran terbesar yang belum pernah berlaku sebelumnya di Iraq. Mengisahkan keberanian dan pengorbanan yang membakar semangat dan menyedarkan umat. Peperangan Qadisiyyah tercetus pada tahun 14 H, pada zaman pemerintahan khalifah kedua Islam, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a.
Jumlah tentera Islam pada peperangan ini ialah sebanyak 30,000 orang. Dalam kalangan mereka terdapat 70 orang sahabat yang menyertai Perang Badr, 300 orang sahabat yang menyertai Fath Makkah, dan 700 orang putera sahabat radiyallahu ‘anhum.
Perang ini merupakan pertempuran terbesar yang belum pernah berlaku sebelumnya di Iraq. Mengisahkan keberanian dan pengorbanan yang membakar semangat dan menyedarkan umat. Peperangan Qadisiyyah tercetus pada tahun 14 H, pada zaman pemerintahan khalifah kedua Islam, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a.
Jumlah tentera Islam pada peperangan ini ialah sebanyak 30,000 orang. Dalam kalangan mereka terdapat 70 orang sahabat yang menyertai Perang Badr, 300 orang sahabat yang menyertai Fath Makkah, dan 700 orang putera sahabat radiyallahu ‘anhum.
SEKILAS TENTANG QADISIYYAH
Qadisiyyah ialah sebuah daerah di sebelah timur sungai Furat (Euphrates). Kaya dengan kebun kurma dan terkenal dengan sistem saliran yang baik. Merupakan pintu gerbang kerajaan Parsi suatu ketika dahulu. Manakala lokasi Qadisiyyah pada hari ini terletak di barat daya Hillah dan Kufah, iaitu bahagian tengah negara Iraq.
KRONOLOGI PEPERANGAN QADISIYYAH
Setelah syahidnya panglima Islam Abu ‘Ubaid r.a. dalam pertempuran di jambatan sungai Furat, di samping belotnya puak kafir Iraq pada ketika itu, ‘Umar al-Khattab r.a. memutuskan untuk memimpin sendiri bala tentera Islam ke Iraq.
Dalam perjalanan ke sana, telah berlangsung mesyuarat ketenteraan. Semua sahabat senior bersetuju dengan keputusan ‘Umar r.a. kecuali ‘Abdul Rahman bin ‘Auf r.a.
Abdul Rahman r.a. menyatakan pendapat beliau: “Aku khuatir apabila engkau ditimpa kekalahan, maka kaum muslimin di seluruh dunia lemah semangat. Justeru, aku mencadangkan agar engkau melantik seorang panglima, sementara engkau kembali ke Madinah.”
‘Umar r.a. lantas bertanya: “Pada pandanganmu, siapakah yang paling sesuai sebagai panglima perang di Iraq?”
‘Abdul Rahman r.a. menjawab: “Aku telah menemuinya.”
‘Umar r.a. bertanya lagi: “Siapa?”
“Singa yang menerkam dengan kukunya, Sa’ad bin Malik az-Zuhri!” Tegas ‘Abdul Rahman bin ‘Auf r.a.
‘Umar menyetujui pilihan tersebut, lalu segera mengutuskan Sa’ad bersama bala tenteranya menuju ke Iraq. Sa’ad bin Malik r.a. ialah seorang sahabat yang lebih terkenal dengan nama Sa’ad bin Abi Waqqash r.a.
RUNDINGAN SEBELUM PEPERANGAN
Pada saat tentera Islam dan tentera kafir saling berhadapan, Sa’ad r.a. menghantar al-Mughirah bin Syu’bah r.a. sebagai perunding setelah diminta oleh puak kafir. Al-Mughirah r.a. mendatangi Rustam (Raja Parsi) dengan kadar segera. Sebaik sahaja masuk ke dalam istana, al-Mughirah r.a. langsung duduk di sebelah Rustam.
Hal ini menimbulkan kemarahan para pembesar Parsi. Namun, dengan tenang al-Mughirah r.a. berkata: “Sesungguhnya duduk di singgahsana ini tidaklah meninggikan kedudukanku, dan tidak pula mengurangi kedudukan panglima kamu.”
Tidak berpuas hati dengan tawaran yang diajukan oleh al-Mughirah r.a., Rustam meminta supaya dihantar utusan lain untuk meneruskan rundingan antara dua tentera tersebut.
Menyahut permintaan Rustam, Sa’ad r.a. kemudiannya mengutuskan Rib’i bin ‘Amir r.a. untuk pergi berjumpa Rustam. Dalam masa yang sama, Rustam telah menghiasi istananya dengan pelbagai perhiasan yang menyilaukan mata. Bantal-bantal bersulamkan benang emas disusun rapi dan permaidani buatan sutera dihampar megah. Rustam sendiri memakai mahkota diraja dan bersemayam di atas singgahsana emas.
Dalam pada itu, dengan memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya, Rib’i bin ‘Amir r.a. pergi menemui Rustam. Perginya hanya dengan menunggang seekor kuda pendek lagi tua. Berbaju besi dan bersarungkan pakaian yang koyak-rabak serta lusuh. Berlilitkan kain usang di kepala. Bersama sebilah senjata yang kemas di genggamannya.
Rib’i r.a. ialah seorang tentera bawahan. Seorang jejaka yang dianggap sebagai lelaki kampung. Tidak dikenali ramai, tidak kaya, dan rendah pelajarannya. Namun, Rib’i ialah seorang muslim yang faham dengan Islamnya. Yang faham akan misinya. Yang tidak gentar dengan sesiapa, melainkan Allah yang Maha Esa.
Tiba sahaja di istana, Rib’i r.a. masuk dengan baju besinya dan tidak melepaskan senjata. Para menteri yang ketika itu berada bersama Rustam mula naik darah.
“Letakkan senjatamu!” Arah para menteri dengan marah.
“Aku tidak pernah berniat untuk datang ke sini, tetapi kamulah yang mengundangku datang. Jika kamu memerlukanku, maka biarkan aku masuk dalam keadaan begini. Jika tidak, maka aku akan segera kembali.” Jawab Rib’i r.a. tegas.
“Biarkan dia masuk.” Rustam memberi keizinan.
Rib’i r.a. mengorak langkah menuju ke dalam dengan bertongkatkan tombak yang menghunus ke bawah. Habis semua bantal dan permaidani istana berlubang dan rosak akibat mata tombak Rib’i r.a.
“Apa yang membuatkan kamu datang ke Parsi?” Soal Rustam.
“Adakah begini keadaan kamu yang ingin membuka dunia? Yang menunggang kuda tua, bersenjatakan tombak lama, dan bersarungkan baju koyak-rabak?” Tambah Rustam memerli Rib’i r.a.
Rib’i r.a. menjawab pertanyaan Rustam dengan kalimah ringkasnya yang masyhur sehingga sekarang:
“Allah telah mengutuskan kami, untuk kami mengeluarkan siapa sahaja yang Dia kehendaki, dari penghambaan terhadap hamba kepada penghambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia mengutuskan kami dengan agama-Nya, untuk kami seru mereka kepada-Nya. Maka sesiapa yang menerima perkara ini, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan, kami akan memeranginya sampai bila-bila, sehingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah.”
Demikianlah jawapan Rib’i bin ‘Amir r.a. terhadap soalan Rustam. Selepas berbalas-balas kata, Rustam mula lembut hati untuk menerima seruan Islam. Namun, para menteri dan pemimpin-pemimpin kaumnya membantah keras setiap ucapan dan seruan tersebut.
Sebelum Rib’i r.a. kembali ke pangkuan Sa’ad r.a., Rustam berkata kepada Rib’i r.a.: “Janganlah kamu keluar dari istanaku ini kecuali dengan meletakkan tanah di atas kepalamu.”
Lalu Rib’i r.a. pun keluar dengan tanah di atas kepalanya sebagai memenuhi permintaan Rustam.
Para sahabat r.a. yang melihat hal tersebut berasa gembira. Itulah tanda bahawa tanah Parsi ini akan mereka buka tidak lama lagi. Benarlah janji Allah s.w.t. Peperangan Qadisiyyah dimenangi tentera Islam di tangan Sa’ad bin Abi Waqqash r.a.
كَمْ تَرَكُوا مِن جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ
“Alangkah banyaknya taman dan mata air yang mereka tinggalkan,”وَزُرُوعٍ وَمَقَامٍ كَرِيمٍ
“dan kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah-indah,”وَنَعْمَةٍ كَانُوا فِيهَا فَاكِهِينَ
“dan kesenangan-kesenangan yang mereka menikmatinya,”كَذَلِكَ وَأَوْرَثْنَاهَا قَوْماً آخَرِينَ
“demikianlah. Dan Kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain.”فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاء وَالْأَرْضُ وَمَا كَانُوا مُنظَرِينَ
“Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka dan merekapun tidak diberi tangguh.”Surah ad-Dukhan, ayat 25-29.
--------------------------------
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم

4 comments:
MasyaAllah.. this is the best entry. :)
slm.mohon share.terimakasih.
In other side, this is a motivation story :)
Keep writing Prof AL :)
Amat dialu²kan untuk share. :)
Post a Comment